Thursday, June 1, 2017

AYAT 1


Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba Nya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)
(Al-Kahfi 18:1)

PUJIAN ITU MILIK ALLAH

Segala pujian samada satu pujian, dua pujian atau semua pujian, semuanya adalah milik Allah. Orang lain pun dipuji juga, tapi semua pujian itu sebenarnya milik Allah. Kerana walaubagaimanapun kita puji makhluk lain, sebenarnya kita memuji Allah. Kalau kita puji seseorang itu cantik, sebenarnya kita memuji Allah kerana Allah telah menjadikan orang itu cantik.

Dalam salah satu hadis Rasulullah SAW bersabda ;
"Sesungguhnya sebaik-baik doa adalah Alhamdulillah"
(HR Tirmidzi)


ZAT YANG MENURUNKAN KEPADA HAMBANYA KITAB AL-QURAN

Lihatlah apabila Allah berkata segala pujian itu milik Nya, Nabi Muhammad yang menerima wahyu ini tidak disebut nama dan pangkatnya, hanya disebut perkataan 'hamba Nya' sahaja. Allah memuji Diri Nya sendiri dalam ayat ini kerana Dialah yang menurunkan Al-Quran yang mulia kepada Nabi yang mulia untuk disampaikan kepada umat. Al-Quran itu adalah nikmat yang maha besar yang Allah berikan kepada makhluk Nya. Dengan Al-Quran itu dapat mengeluarkan manusia dari kegelapan, kesesatan kepada cahaya kebenaran.

Dalam ayat ini, kita bertemu dengan tiga perkara pokok yang dibicarakan dalam Al-Quran : Allah, Rasul dan Kitab. Allah menurunkan Kitab (Al-Quran) kepada manusia melalui hamba NYa (Nabi Muhammad SAW) dan Allah memuji diri Nya dan Dialah yang menurunkan Kitab itu.

Pujian bukanlah kepada Al-Quran itu kerana ianya diturunkan Allah. Begitu juga para Nabi semua yang menjalankan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah. Segala pujian adalah hanya kepada Allah. Kerana kalau kita memuji sesiapa atau apa sahaja, ianya akan kembali kepada Allah. Maka ini, juga mengajar kita merendahkan diri kita kalau ada sesiapa yang memuji kita kerana kalau ada apapun yang baik pada diri kita, ianya adalah dari Allah semata-mata.

Allah hendak mengingatkan manusia bahawa Dialah yang menurunkan wahyu itu kepada Nabi Muhammad. Al-Quran itu bukan datang daripada selain dari Allah Taala. Jadi, jangan kita ambil mudah dengan Al-Quran ini kerana ianya datang dari Allah SWT.

AYAT 2


(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
(Al-Kahfi 18:2)

AYAT 3

Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
(Al-Kahfi 18:3)

AYAT 4

Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata : "Allah mempunyai anak."
(Al-Kahfi 18:4)

AYAT 5

(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
(Al-Kahfi 18:5)

AYAT 6

Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
(Al-Kahfi 18:6)

AYAT 7

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antara yang lebih baik amalnya.
(Al-Kahfi 18:7)